Tuesday 26 March 2013

Mengapa kita perlu bercerita kepada kanak-kanak?


Tiada siapa pun dalam dunia ini yang perjalanan hidupnya bagaikan poin-poin dalam laporan. Hidup adalah proses. Cerita ialah proses yang disusun atur dari awal hingga akhir. Bercerita akan membawa minda kanak-kanak untuk menyusun fakta mengikut aturan. Jadi, mereka boleh ‘nampak’ perkembangan sesuatu perkara dari pangkal sampai ke hujung. Minda mereka cuba menganalisis perkembangan cerita. Apabila mereka bertanya, itu bermakna anak anda sedang memproses fakta untuk difahami. Dan ini bermakna minda anak anda sedang rancak berfikir.

Fasilitator menyampaikan cerita kepada kanak-kanak dalam
Little Ibnu Sina Camp

Semasa bercerita, anak-anak mengikuti setiap butir perkataan. Apalagi jika penceritaan itu diiringi dengan mimik muka dan intonasi suara, proses ini bukan sahaja merangsang pembangunan emosi, imaginasi dan bahasa, malah kanak-kanak mudah mengerti makna sesuatu perkataan itu. Kanak-kanak cepat menguasai perbendaharaan kata (vocabulary) pada usia 3 – 8 tahun. Menurut saintis yang mengkaji perkembangan otak, bahagian otak yang berkaitan dengan bahasa berkembang pesat pada usia ini.

Illustrasi cerita bertajuk 'Si Susu Menjadi Aiskrim' 

Penceritaan memudahkan anak anda menulis dengan lancar. Idea-ideanya tersusun secara naratif. Ini mengurangkan kusut dalam penulisan karangan. Ditambah pula dengan penguasaan perbendaharaan kata yang luas, tidak mustahil anak anda boleh menghasilkan penulisan kreatif yang unik dan cemerlang. Oleh itu, amalkan aktiviti bercerita dengan anak-anak. Lakukannya secara konsisten dan mulakan sejak usia muda.  

Selepas aktiviti, kanak-kanak lukiskan apa yang mereka ingat semasa
eksperimen dan mendengar cerita.

Little Ibnu Sina Camp menggunakan pendekatan bercerita untuk menyampaikan konsep sains dan mengaitkannya dengan kehebatan Maha Pencipta, Allah SWT. Dengan menggunakan cara ini, kanak-kanak dapat memahami dan menyerap ilmu lebih mudah.

No comments:

Post a Comment

Kami mengalu-alukan cadangan dan ulasan anda di sini. Terima kasih.