Sunday 30 October 2011

Aktiviti Sains di Rumah Anak Yatim dan Ibu Tunggal Taman Medan

Akhirnya, saya dapat buat aktiviti sains di Rumah Ibu Tunggal dan Anak Yatim Taman Medan. Aktiviti bermula pukul 9.00 pagi. Ada 16 orang budak-budak terdiri daripada sekolah rendah sampailah sekolah menengah. Pagi ini, majoriti yang ada ialah perempuan dan seorang lelaki sahaja. Mungkin yang lain sudah keluar mencari rezeki sejak subuh sepi lagi... :)

Saya laksanakan aktiviti di anjung rumah atas. Di anjung ini, kami (saya dan budak-budak) rasa lebih seronok, bebas, berudara dan privasi untuk melakukan aktiviti. Selain itu, anjung ini dekat dengan bilik air dan ada white board. Saya buat beberapa eksperimen sains secara demonstrasi dan berkumpulan. Inilah antara eksperimennya.

Tiup Belon dalam Botol

Kebab Belon

Corong Kedap Udara

Air Terapung

Piring Melekat

Ibu-ibu tunggal sedang gigih memasak juadah makan tengahari


Kami berbincang tentang konsep sains. Pelajar ini gila-gila dan kreatif. 

Aktiviti habis pukul 10.30 pagi. Sebenarnya, saya patut habiskan aktiviti ini pada pukul 11.00 pagi tetapi terpaksa berhenti awal sebab ada pelajar dari kolej (saya tak ingat apa nama kolejnya sebab namanya pun kurang popular. Pelajarnya saja ‘vogue giler’ cakap bahasa Melayu ala pelat orang putih dengan saya) nak buat aktiviti untuk projek penyelidikan mereka. Saya bengang kerana saya sendiri tak buat begitu. Saya menghormati program orang lain dan tidak mendesak pun untuk habiskan awal. Cara mereka seperti mementingkan diri saja, yang pentingnya  projek penyelidikan mereka siap.

Penjaga aktiviti di rumah itu kelihatan serba salah. Saya akur atas permintaan mereka. Pelajar-pelajar itu  terus pergi. Aik… kalaulah betul mereka ini serius untuk membuat projek penyelidikan terhadap anak-anak yatim ini, apalah salahnya jika mereka pun turut perhatikan sekali aktiviti yang sedang dijalankan. Saya pun suka. Sekurang-kurangnya, mereka boleh perhatikan tingkah laku anak-anak i ni. Jadi mereka dapat tambah ilmu pengetahuan dan menambah nilai kepada projek penyelidikan mereka. Hmm… apo nak dikato. Mereka (pelajar IPT) masih muda dan banyak peluang untuk belajar.

Alhamdulillah, selepas empat kali tertangguh, akhirnya dapat juga saya capai kehendak saya. Bila difikir-fikir balik, banyak masa yang terbuang kerana menunggu. Sepatutnya saya boleh guna masa ini buat aktiviti sains dengan rumah anak yatim yang lain. Saya percaya, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

Sepanjang saya berurusan di sini, saya melihat kerelaan Nenek (Mak Cik Kamariah) menjadikan rumahnya sebagai pusat aktiviti ibu tunggal dan anak yatim ini amat terpuji. Sudah sepuluh tahun rumah kebajikan ini bertahan. Berapa ramai antara kita yang sanggup berkongsi seluruh ruang rumahnya bersama orang lain? Saya sendiri pun (jika ditujukan soalan itu) telan air liur. Saya mengagumi usahanya.