Tuesday 19 March 2013

Bagaimana merangsang kreativiti kanak-kanak?


Cuba bandingkan persekitaran anak-anak sekarang dengan persekitaran sewaktu kita kecil dahulu. Harga makanan yang murah, tempat tinggal yang luas dan selesa, bermain dan bergaul dalam keadaan selamat dan tenteram. Adakah anak-anak zaman digital ini mengalami situasi yang sama dengan kita dulukala? Hakikatnya, semakin manusia menghampiri akhir zaman maka semakin hebat cabarannya. Inilah cabaran yang akan dihadapi oleh anak kita. Sekiranya minda anak hanya biasa-biasa sahaja, mampukah dia mengecap kebahagiaan, kekayaan dan kejayaan dalam dunia masa hadapan yang penuh pancaroba? Ini bermakna anak-anak perlu kreatif dan inovatif menghadapi cabaran masa depan dan pembinaan pemikiran ini perlu digilap sejak usia rebung.  

Pelajar menyelesaikan cabaran mengalirkan air paling pantas menuruni tali. 

 Jadi, apakah pemikiran kreatif? Rumusan daripada Robert Fisher dalam buku 'Teaching Children To Think', pemikiran kreatif adalah 'sesuatu' yang ada dalam diri seorang perekacipta yang membolehkannya menghasilkan produk baru atau penyelesaian baru kepada sesuatu masalah. Ia adalah sikap dan kebolehan yang membuatkan mereka mampu menjelmakan idea menjadi suatu hasil yang dapat menambah nilai kepada dirinya dan orang lain. Hasil ini menjana pendapatan untuk dirinya dan orang lain juga.  Hasil itu dapat merangsang pembangunan ekonomi bangsa, agama dan negaranya.

Kanak-kanak prasekolah dan sekolah tahap 1 menyelesaikan cabaran
mengalirkan air paling pantas menuruni tali 

Program Little Ibnu Sina melatih peserta berfikir sendiri untuk menyelesaikan masalah. Masalah-masalah ini dihadirkan dalam bentuk eksperimen sains yang mudah dilakukan di rumah. Sungguhpun nampak mudah di mata, tetapi apabila melakukannya, barulah mereka tahu bahawa untuk menjayakan sesuatu perkara, mereka perlu berfikir dan mencuba. Lebih banyak ilmu pengetahuan dan skill yang mereka ada, maka lebih mudah untuk mereka menyelesaikan masalah. Cabaran-cabaran yang kecil ini merangsang otak untuk berfikir lebih kreatif dan inovatif. 

No comments:

Post a Comment

Kami mengalu-alukan cadangan dan ulasan anda di sini. Terima kasih.